Pengswastaan mendidik Anak
Artikel ini di petik dari Berita Harian>>>>
KEPALA BATAS: Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak ‘menswastakan’ tanggungjawab mendidik dan membesarkan anak kepada pihak ketiga kerana ia boleh menyebabkan anak rasa terabai dan mudah terdedah kepada pelbagai gejala sosial.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata ada ibu bapa zaman moden menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik dan membimbing anak mereka kepada orang lain seperti guru sekolah dan guru tuisyen.
“Ibu bapa tidak boleh bersikap lepas tangan dan menyerahkan bulat-bulat soal pendidikan anak kepada sekolah atau institusi lain.
“Ibu bapa kena tanya diri sendiri, apa pula sumbangan mereka terhadap pendidikan anak?
“Di sekolah Cina (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), ibu bapa mengambil berat soal pendidikan anak mereka dan sanggup memberi sumbangan kepada sekolah hingga mampu membina bangunan dan dewan yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ‘Keluarga Bahagia Masyarakat Ceria’ anjuran Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) di Pinang Tunggal dekat sini, semalam.
Khairy mewakili isterinya, Nori Abdullah yang juga Pengerusi Penyayang. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penyayang, Datuk Leela Mohd Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.
Selain meminta ibu bapa yang berpendapatan tinggi memberi sumbangan termasuk kewangan kepada sekolah, beliau turut menyokong saranan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menggalakkan keluarga yang berada membayar yuran tambahan persekolahan anak masing-masing.
“Bukan semua ibu bapa yang merungut mengenai yuran tambahan. Ramai juga yang berkemampuan, tetapi mereka seolah-olah bersikap lepas tangan.
“Dalam soal ini, kita perlu perubahan pemikiran,” katanya yang menganggap kebanyakan ibu bapa moden gemar menyerahkan tanggungjawab mendidik anak kepada pihak sekolah. Katanya, sikap ibu bapa terhadap pendidikan penting kerana ia mempengaruhi corak institusi kekeluargaan dan boleh menimbulkan masalah jika mereka bersikap lepas tangan, termasuk masalah penagihan dadah, mat rempit dan bohsia.
“Kerajaan sudah menyediakan pelbagai infrastruktur pendidikan manakala yuran sudah dimansuhkan. (Kini) tiba masanya untuk ibu bapa memainkan peranan mereka,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Khairy memuji program berkenaan yang disifatkannya sebagai landasan terbaik dalam membentuk keperibadian generasi baru melalui kemantapan kekeluargaan.
Posted: January 9th, 2008 under Kasih Ibu dan Bapa.
Comments: 3
Comments
Comment from cikguzul
Time: January 10, 2008, 10:13 am
Selamat Menyambut Maal Hijrah 1429. Semoga diberkatiNya sentiasa.
Comment from rafizah
Time: February 28, 2008, 1:06 pm
Assalamualaikum………….
Sekiranya ibu bapa terlalu sibuk dan tiada masa mendidik anak-anak, mereka boleh menggunakan internet sebagai medan baru untuk menarik minat anak-anak baik di peringkat rendah atau menengah
Comment from Leeza
Time: March 12, 2008, 11:27 pm
“mengswastakan” tanggungjawab mendidik anak2 … suka phrase ni, sgt sesuai utk parents zaman skrg yg bekerja of course …
Komen dan Pandangan Anda